Wednesday, February 4, 2026
HomePolitikGolongan muda perlu bangkit tentukan masa depan Sabah: Mohd Shafie

Golongan muda perlu bangkit tentukan masa depan Sabah: Mohd Shafie

SEMPORNA: Golongan muda terutama pengundi 18 tahun (Undi18) disaran memainkan peranan lebih aktif dalam menentukan masa depan negara, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal diadakan.

Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, berkata generasi muda kini semakin celik isu semasa dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap cabaran yang dihadapi.

Katanya, dalam beberapa pertemuan bersama penuntut institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), ramai menyuarakan kebimbangan terhadap masalah asas seperti ketiadaan bekalan air bersih.

“Mereka bukan sahaja mahu mandi dan minum, tetapi gangguan ini turut menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran.

“Penuntut universiti perlu membeli air mineral dan menunggu sumbangan, sedangkan ini sepatutnya tidak berlaku di pusat pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Apresiasi dan Sumbangan Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Semporna, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata isu air di Sabah bukan perkara baharu, malah sudah berlarutan bertahun-tahun akibat kelemahan pengurusan termasuk di peringkat Jabatan Air Negeri Sabah.

“Kita pernah tamatkan kontrak konsesi dan serapkan lebih 1,000 pekerja kontrak ke dalam Jabatan Air agar mereka mempunyai pekerjaan tetap dan sistem lebih efisien, namun masalah masih berlarutan.

“Kelemahan infrastruktur asas seperti air bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat tempatan tetapi juga membantutkan keyakinan pelabur luar untuk melabur di Sabah,” katanya.

“Harga Gas Meningkat & Pendidikan Semporna Jadi Tumpuan: Shafie Tegur Beban Rakyat, Puji Kejayaan Pelajar”

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Semporna itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan harga silinder gas berwarna ungu yang kini mencecah lebih RM70, sekali gus membebankan isi rumah dan peniaga kecil.

“Sabah adalah pengeluar gas kedua terbesar selepas Sarawak. Tidak sepatutnya rakyat kita sendiri menanggung beban kos yang tinggi.

“Saya akan membawa isu ini ke sesi perbahasan Parlimen bulan Julai ini untuk mencadangkan penyelesaian terbaik kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, lebih 100 pelajar dari seluruh daerah Semporna yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2024 diraikan dalam majlis berkenaan.

Mohd Shafie menyifatkan kejayaan pelajar Semporna amat membanggakan walaupun berdepan pelbagai kekurangan dari segi tenaga pengajar dan kemudahan berbanding kawasan bandar.

“Kalau dahulu ada sekolah mencatat keputusan sifar, kini hasil kerjasama guru, pengetua, ibu bapa dan kepimpinan setempat, kita dapat lihat peningkatan memberangsangkan.

“Justeru, saya menyatakan komitmen berterusan untuk membantu memajukan sektor pendidikan di Sabah dan menyeru semua pihak agar tidak meminggirkan pemimpin setempat dalam usaha ini,” katanya.

Baca Juga Artikel Berkaitan


📣 Ikuti Kami Untuk Lebih Banyak Fakta dan Info Terkini

📲 WhatsApp Channel: Gerakan Suara Borneo

👍 Facebook Page: Gerakan Suara Borneo

🎥 TikTok: @gerakansuaraborneo

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments